Thursday, December 31, 2015

Cedera

Cedera (Namun Ku Takkan Tertunduk)
Oleh: Borhan Hadi

Dasawarsa ini, 
ku dapati hidup ini ibarat tiada erti,
Segalanya tertulis di dalam dakwat abadi,
Cuba melawan dan kau kan mati,
Biar ia berjalan namun kau takkan berpuas hati,

Ku kira inilah rasanya sumpahan Sissyphus,
Menolak bongkah batu ke puncak rajawali,
Lalu membiarkan ia bergolek ke kaki bukit,
Sambil Sissyphus memerhati,
Melihat hasil tenaga saktinya tanpa peri,
Tiada mendatangkan sebarang hasil,
Tetap Sissyphus berkejar menuruti,
Mengulang kembali sebuah tragedi,
Mencari erti dalam dunia tanpa erti,
Sissyphus menyeka air matanya,
Sedang mulutnya melepaskan hilaian tawa menggempa bumi,
"Aku kini mengerti;
Hidup ini ku bukan lagi satu tragedi,
Ia tidak lebih hanyalah satu komedi"

Ingkar

Ingkar
Oleh: Borhan Hadi


Damping malam merangkul tubuh,

“Terima kasih jendela kerana menjemput”
Ingin kau sergahi kehadiran tidak diundang itu,
Tetapi bait-bait nostalgia dibawanya,
Mencengkam zihin dan dhamir,
Kembali dikau kepada perdu:
Antara tragedi dan komedi,
Cakerawala fikir bergilir,
Berada di dalam tiap ketika,
Setiap ketika yang membentuk kita;
Masa hadapan: gerun
Masa lampau: belenggu
Masa kini: ribut
‘Diri’ hanyalah dustaan waktu,
Artifak palsu yang ingin diimani,
Semua daripada kita telah tertipu,
Rupa, rasa, gaya, estetik,
Adalah mimpi di dalam mimpi.
Wajah-wajah pertiwi cuba ditilik,
Namun ia berkeras mengingkari,
Memilih untuk larut ke dalam laut;
Menjadi garam yang tidak diingini,
(Cinta ini ternyata tidak berkocak mesra)
Hanya rasa masin berbaki;
Hilang dan mati.
Tempoh telah tamat:
Gerigi masa tergelincir,
Hidup; mula dan akhir,
Mampat tinggal sedetik.
Esok, lusa, tulat, kelmarin,
Lenyap dalam sekelip.

Khuldi

Khuldi
Oleh: Borhan Hadi

Akukah liberalis degil,
Jikalau aku berteriak:
Dengarlah pendapat semua,
Benar, palsu, betul, tipu
Biar Tuhan sendiri yang kira;
Kau dan aku kan sama.


Akukah sekularis totok,
Bilamana aku katakan:
Agama ini bukan untuk dijaja,
Oleh politikus-politikus yang sibuk berkokok,
Dengan biji tasbih dan bilah keris,
Di hadapan rakyat bobrok.


Akukah pluralis mulhid,
Andai aku katakan:
Agama kita semuanya baik semuanya cantik,
Sinagog, kuil, gereja dan masjid,
Di celah-celah taarif segalanya terkait.


Antara tuhan yang dibilang-bilang,
Dan Tawhid yang tiada nisbi,
Aku bertanyakan:
Dimanakah siratul mustaqim,
Nuur Nabi yang dicari-cari,
Petunjuk sepanjang jalan,
Bagi seorang anak Adam,
Yang cuba merasa manisnya khuldi,
Di suatu daerah larangan.

Monday, April 8, 2013

Kapsul di Bilik Mayat

Kapsul Di Bilik Mayat
Oleh: Borhan Hadi

Mayat itu terbaring.
terbujur diam.
terkaku senyap.
tenggelam dalam hingar.

Dahulunya Ia satu jasad,
yang berintikan roh,
yang berbuluhkan darah,
dan berwayarkan saraf,

Justeru seperti kau aku
"Ia" juga boleh bergelak ketawa
miliki naluri untuk menitiskan airmata,
dan potensi membuat keputusan bodoh

Ya,
mungkin kerana keputusan bodoh itulah,
"Ia" menjadi mayat,

Yang matinya tidak gemilang
bersama otot yang rabak
tulang rusuk yang pecah
dan anatomi yang langsung pincang

Yang meninggalkan di belakangnya,
harapan yang tak tercapai
tanggungjawab yang tak tertunai
dan pekerjaan yang tak terlangsai

Selamat hari mati mayat
ku doa kau membawa cukup bekalan
semoga silammu menjadi nilai teladan
yang kini tersimpan sebagai kapsul di bilik mayat

Saturday, April 6, 2013

Sergahan Minda

Sergahan Minda
Oleh: Borhan Hadi

Di saat kita perlukan sergahan minda
Ia datang: semalam

Berbisik-bisik di telinga,
Meresap masuk ke dalam nyawa,
Terus ke deria lima,
Mencetuskan gelora rasa,
Memukul ombak jiwa,
Menggetuskan amarah...

Dalam sunyinya,
Membangkitkan upaya rela.